Campur Tangan Amerika Perang Vietnam

Penglibatan Amerika Semasa Presiden Harry S. Truman

Semasa Perang Dunia II, Office of Strategic Services atau OSS (kini CIA) memberikan bantuan ketenteraan kepada Ho Chi Minh. Selepas tamat Perang Dunia II, Amerika Syarikat melihat Viet Minh dengan kesangsian, kerana pegangan Komunisme Viet Minh. Walaupun demikian, pegawai-pegawai OSS masih ditugaskan untuk tujuan penyelarasan dengan Viet Minh. OSS memberikan bantuan kepada Viet Minh untuk menguruskan penghantaran pulang anggota tentera Amerika yang telah menjadi tawanan perang Jepun dan ditahan di Vietnam.Pada 26 September 1945, Lt. Col. A. Peter Dewey seorang pegawai OSS ditembak mati oleh Viet Minh, menjadikan beliau anggota tentera pertama terbunuh di Vietnam.

Dengan tercetusnya Perang Korea, Presiden Harry S. Truman meningkatkan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Perancis untuk memungkinkan kemenangan Perancis mengatasi pemberontakan oleh Viet Minh. Harry S. Truman mengumumkan "acceleration in the furnishing of military assistance to the forces of France and the Associated States in Indochina…" dan menghantar 123 orang pegawai tentera ke Vietnam untuk membantu Perancis di dalam peranan bukan tempur. Dalam tahun 1951, Presiden Harry S. Truman membuat sumbangan $150 juta untuk membantu membiayai kos perang Perancis di Vietnam.

Penglibatan Amerika Semasa Presiden Dwight D. Eisenhower 1953–1961

Presiden Dwight D. Eisenhower menggunakan kuasa dan prestij Tentera Amerika Syarikat untuk membantu penubuhan sebuah kerajaan bukan Komunis di Vietnam Selatan. Pentadbiran Eisenhower amat risau akan kejayaan pihak Komunis bertapak dan meluaskan pengaruhnya di Asia Tenggara. Amerika Syarikat mengalami 142,000 orang anggota tentera terbunuh di Korea dalam usaha membantutkan kemaraan Komunisme di Semenanjung Korea. Di Malaya, Pentadbiran Eisenhower melihat Tentera British dan anak-anak watan Malaya bergelut menentang pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya. Amerika Syarikat melihat ini sebagai sebahagian daripada rancangan besar Komunisme untuk bertapak dan menular ke seluruh pelosok dunia.

Pentadbiran Eisenhower tidak mahukan pengorbanan besar di Korea akan menjadi sia-sia sekiranya Komunisme berjaya bertapak di Asia Tenggara. Tetapi Pentadbiran Eisenhower menghadapi kesukaran mendapatkan sokongan ramai untuk melibatkan diri dalam satu lagi peperangan selepas Perang Korea. Dwight D. Eisenhower menggunakan pasukan-pasukan kecil "penasihat tentera" dipanggil Kumpulan Bantuan Penasihat Tentera (Military Assistance Advisory Group) ataupun MAAG ke Vietnam Selatan untuk membantu Vietnam Selatan menentang kemaraan Komunisme.

Pada 1 November 1955, Dwight D. Eisenhower menghantar kumpulan pertama MAAG ke Vietnam Selatan untuk memberikan latihan kepada Tentera Vietnam Selatan (ARVN). Ini merupakan permulaan pembabitan rasmi Amerika Syarikat di dalam perang Vietnam. Pada 8 Julai, 1958, Charles Ovnand and Dale R. Buis menjadi anggota MAAG pertama terbunuh semasa bertugas di Vietnam.

John F. Kennedy - Perkembangan Dasar Kawalan

Dalam bulan Jun 1961, John F. Kennedy bertemu Nikita Khrushchev di Vienna, Austria. Mereka bercanggah pendapat dalam perkara-perkara dasar berkaitan isu-isu Amerika-Soviet. Perjumpaan itu menyakinkan Presiden John F. Kennedy dan para analisis seperti John Kennan bahawa Asia Tenggara akan menjadi medan di mana Soviet Union akan menguji keazaman Amerika Syarikat menguatkuasakan dasar mengawal pengaruh Komunis (containment policy) yang dimulakan oleh Pentadbiran Truman dan dikuatkan oleh kebuntuan penguasaan Komunis semasa Perang Korea.

Thích Quảng Ðức membakar dirinya hidup-hidup sebagai membantah Perang Vietnam. Menurut David Halberstam, "Semasa dia terbakar dia langsung tidak bergerak, tidak mengeluarkan bunyi"

John F. Kennedy berminat dengan konsep penggunaan Pasukan Khas untuk operasi tindakan cegah insurgensi (counterinsurgency). John F. Kennedy melihat kejayaan Tentera British menangani Darurat di Malaya sebagai satu pencontoh cara mana insurgensi dapat ditewaskan. Pasukan Special Forces Tentera Amerika ditubuhkan sebagai pasukan gerila yang menjalankan peperangan bukan konvesional di belakang barisan musuh di Eropah, John F. Kennedy percaya pasukan Green Berets boleh memberikan kesan besar menjalankan peperangan kecil-kecilan (dipanggil “brush fire” oleh Pentadbiran Kennedy) di Vietnam.

Dalam bulan Mei, 1961John F. Kennedy menghantar 400 orang anggota Green Beret ke Vietnam Selatan sebagai "Penasihat Khas" untuk melatih ARVN. John F. Kennedy juga membenarkan juruterbang Amerika syarikat membuat penerbangan tempur sambil berpura-pura melakukan misi latihan penerbangan. Pada 20 Januari 1961 Presiden Perancis, Charles de Gaulle memberitahu Presiden John F. Kennedy "I predict you will sink step by step into a bottomless quagmire, however much you spend in men and money".

John F. Kennedy menghadapi krisis besar dalam tiga bahagian ketika itu, (i) kegagalan operasi Bay of Pigs di Cuba (ii) pemisahan Berlin dengan pembinaan Tembok Berlin (iii) penyelesaian secara rundingan di antara Kerajaan pro-Barat di Laos dengan kumpulan Komunis Pathet Lao di Laos. John F. Kennedy takutkan kegagalan Amerika Syarikat mengawal pengluasan pengaruh Komunis di Indochina akan melumpuhkan kredibiliti Amerika Syarikat. John F. Kennedy berazam untuk berpatah arang menghalang kemenangan pihak Komunis di Vietnam. Kata John F. Kennedy, “Now we have a problem in making our power credible and Vietnam looks like the place”.

Pentadbiran Kennedy semakin hampa dengan Presiden Ngo Dinh Diem. Dalam tahun 1963, tindakan keras ke atas sami-sami Buddha yang membantah tindakan kerajaannya mencetuskan peristiwa di mana sami-sami membakar diri mereka hidup-hidup di hadapan pemberita-pemberita antarabangsa. Peristiwa yang mendapat liputan meluas adalah peristiwa membakar diri hidup-hidup oleh Thích Quảng Ðức untuk membantah kekejaman tindakan Presiden Ngo Dinh Diem ke atas kumpulan sami Buddha. Anasir-anasir Komunis mengambil kesempatan untuk menabur fitnah dan dakyah untuk membangkitkan kemarahan penganut fahaman Buddha dan mencetus ketidakstabilan sosial.

Pentadbiran Kennedy cuba memberi tekanan kepada Ngo Dinh Diem dengan meminta Pegawai-pegawai ARVN bertindak menentang tindakan melampau ke atas pembantah Buddha tetapi tidak mendapat sokongan. Ngo Dinh Diem juga keras hati dan tidak selalunya mahu menerima “nasihat” oleh pegawai Tentera Amerika, sebaliknya membuat keputusan sendiri.

Dalam bulan November 1963, kedutaan Amerika Syarikat di Saigon memberikan petanda kepada pengkomplot bahawa Amerika Syarikat tidak ada halangan untuk menggulingkan Ngo Dinh Diem daripada berkuasa. Presiden Ngo Dinh Diem digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera dan dihukum bunuh. Keadaan keselamatan menjadi huru hara dan Vietnam Utara mengambil kesempatan untuk menguatkan kedudukan konco dan anasirnya di Vietnam Selatan.

Vietnam Selatan seterusnya melalui satu tempoh ketidakstabilan, dengan pemerintahan tentera yang saling berganti. Amerika Syarikat semakin runsingkan keadaan dan meningkatkan bilangan anggota penasihat tenteranya di Vietnam. Secara perlahan, Amerika Syarikat ditarik masuk ke dalam kemelut perang di Vietnam. Tujuh kerajaan mengambil kuasa dalam tahun 1964. Dalam tempoh 16 Ogos hingga 3 September sahaja, kerajaan bertukar sebanyak 3 kali. Peralihan ini hanya menguatkan pergerakan Vietcong dan anasir Viet Minh. Mereka menggunakan sepenuhnya kekosongan kuasa ini untuk menguatkan kedudukan mereka dan mengumpulkan lagi bekalan senjata dan peralatan lain.

Lyndon B. Johnson dan Peningkatan Penyertaan Amerika Syarikat

Dalam bulan Jun, 1964 Presiden Lyndon B. Johnson melantik Jeneral William Westmoreland menggantikan Paul D. Harkins sebagai Pemerintah MAAG di Vietnam. Di bawah pimpinan Westmoreland, bilangan anggota Tentera Amerika meningkat dari 16,000 orang anggota dalam tahun 1964 kepada lebih 500,000 orang selepas Serangan Tet dalam tahun 1968. Peningkatan dibuat secara berperingkat oleh Westmoreland. Peningkatan pertama berlaku pada 27 Julai, 1964, apabila 5,000 orang penasihat tentera dikerah ke Vietnam, menjadikan jumlah anggota seramai 21,000 kesemua.

Insiden Teluk Tonkin

Gambar Foto diambil Dari USS Maddox Semasa Serangan oleh 3 Buah bot Penyerang Torpedo Vietnam Utara

Peningkatan mendadak berlaku selepas Insiden Teluk Tonkin pada tarikh-tarikh 2 Ogos 1964 hingga 4 Ogos 1964. Dalam insiden ini Presiden Johnson mendakwa kapal pemusnah USS Maddox dan USS C. Turner Joy dari Pasukan Petugas Tentera Laut Amerika telah diserang oleh bot penyerang pembawa torpedo milik Vietnam Utara. Sebelum itu, tidak ada sengketa secara berdepan di antara Amerika Syarikat dan Vietnam Utara. Kesahihan dakwaan serangan ini menjadi bahan perdebatan sehingga kini. (Laporan yang disebarkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (National Security Agency) dalam tahun 2005 menunjukkan tidak ada serangan dibuat pada 4 Ogos 1964 seperti yang didakwa Johnson)

Ekoran dari serangan ini, Senat Amerika Syarikat meluluskan Resolusi Teluk Tonkin pada 7 Ogos 1964, yang memberikan sokongan dan kuasa meluas kepada Presiden Johnson untuk membantu mana-mana kerajaan Asia Tenggara yang diancam oleh penggulingan Komunis. Resolusi ini memberikan mandat kepada Presiden Johnson untuk meningkatkan penglibatan Amerika Syarikat di Vietnam, “mengikut ketetapan yang dibuat oleh Presiden”, tetapi dengan tidak mengisytiharkan keadaan perang. Resolusi ini diluluskan sebulat suara oleh Dewan Perwakilan (House of Representatives) dan di Kongres, hanya 2 bantahan diterima dari Wayne Morse (Oregon) dan Ernest Gruening (Alaska). Morse menyatakan bahawa sejarah akan menunjukkan bahawa beliau dan Gruening bertindak untuk mempertahankan kepentingan rakyat Amerika.

Presiden Johnson dalam ucapan di televisyen membahaskan bahawa cabaran yang dihadapi di Asia Tenggara sama seperti cabaran di Greece, Turki, Berlin, Korea, Lubnan dan Cuba. Pada 28 November, 1964 Majlis Keselamatan Kebangsaan di anggotai oleh Robert McNamara, Dean Rusk, dan Maxwell D. Taylor membuat cadangan saranan supaya peningkatan dibuat saranan kepada Presiden Johnson menggunakan pelan 2 peringkat bagi peningkatan campurtangan Amerika Syarikat di Vietnam. Dengan peningkatan pembabitan Amerika Syarikat di Vietnam, mengikut komitmen di bawah Perjanian SEATO, Australia dan New Zealand bersetuju menyumbang anggota tentera dan bahan peperangan kepada usaha ketenteraan di Vietnam.

Australia memperkenalkan kerahan tentera akhir tahun 1964, melibatkan mereka yang berumur 20 tahun untuk mendaftar. Pemilihan akan dibuat melalui cabutan di bawah Skim Khidmat Negara (National Service Scheme). Pemilihan akan dibuat setiap 3 hingga 6 bulan dan mereka yang dilahirkan pada tarikh loteri tersebut perlu menghadiri pemeriksaan fizikal dan psikologi. Mereka yang lulus pemeriksaan akan dihantar ke Vietnam untuk berkhidmat selama 2 tahun.

Memilih Strategi

Sepanjang musim gugur dan musim sejuk tahun 1964, Pentadbiran Johnson membahaskan strategi terbaik untuk memerangi pengaruh komunis di Vietnam. Majlis Ketua-Ketua Turus Angkatan Tentera mahu meningkatkan penggunaan pesawat Tentera Udara Amerika di Vietnam Utara untuk membantu penstabilan kerajaan di Vietnam Selatan. Penganalisis awam di Pentagon mahukan kekerasan dikenakan secara berperingkat menggunakan pengeboman yang terpilih yang terhad. Penolong Setiausaha Negara George Ball tidak bersetuju dan menuduh dasar oleh Pentadbiran Johnson terlampau menekan dan hanya memberikan pulangan yang tidak berbaloi.

Pesawat C-7 Caribou Tentera A.S. di Vietnam

Selepas Insiden Teluk Tonkin, Johnson mengumumkan bahawa Amerika tidak mahukan perang yang lebih meluas. Vietnam Utara pula mula menghantar anggota-angota terlatih dari Tentera Rakyat Vietnam (PAVN) ke Vietnam Selatan. Mereka menyelaras pergerakan dengan Vietcong. Pada 7 Februari, 1965, mereka melancarkan serangan ke atas sebuah pengkalan helikopter Amerika di Pleiku dan mengakibatkan 8 anggota tentera terbunuh, 126 orang cedera dan 10 buah helikopter musnah. Pada 10 Februari 1965, mereka membuat serangan lain ke atas kediaman tentera amerika di Qui Nhon, dan berjaya membunuh 23 orang tentera Amerika dan mencederakan 21 orang yang lain. Serangan ini dibuat semasa lawatan Aleksey Kosygin, Perdana Menteri Soviet Union ke Hanoi untuk berusaha memujuk Vietnam ke meja perundingan. Aleksey Kosygin menghentikan usaha damainya selepas serangan tersebut dan sebaliknya menjanjikan kepada Vietnam Utara bantuan tentera tanpa bersyarat.

Selepas serangan ini, Johnson mengarahkan serangan balas dengan pengeboman dari udara dilancarkan. Penasihat Presiden Johnson, khususnya McGeorge Bundy dan Robert McNamara percaya pentingnya dilancarkan serangan udara yang intensif ke atas Vietnam Utara untuk menunjukkan balasan bakal diterima sekiranya Vietnam Utara menyokong NLF. Operasi Flaming Dart merupakan kali pertama serangan udara ke atas Vietnam Utara dilakukan sebagai balasan kepada serangan ke atas pengkalan Amerika di selatan. Serangan juga dimulakan ke atas sasaran Vietcong and PAVN di Vietnam Selatan. Tentera Amerika juga melengkapkan pengkalan Da Nang dengan misil darat ke udara jenis Hawk sebagai langkah berwaspada seandainya Hanoi hendak melancarkan serangan udara ke atas pengkalan tersebut. Melihat perkembangan ini, Soviet Union membekalkan misil Da Nang jenis SAM-2 dan SAM-3 ke Vietnam Utara.

Pada 2 Mac 1965, Johnson memberi kelulusan untuk memulakan serangan berterusan ke atas Vietnam Utara. Oleh kerana pasukan ARVN dianggap terlalu lemah untuk memberikan perlindungan, anggota pasukan tempur Amerika diperlukan untuk mengadakan kawalan keselamatan di pengkalan-pengkalan udara yang digunakan tentera Amerika. Pada 8 Mac, 1965, kumpulan pertama terdiri dari 3,500 orang anggota Merin dari Rejimen ke-9 Kor Merin mendarat di Da Nang. Pada akhir bulan April, mereka diikuti oleh 56,000 anggota tentera tambahan. Pada akhir bulan Jun, tambahan tentera meningkat kepada 74,000 orang.

Peningkatan Bilangan Tentera Amerika

Pada permulaan bulan Mac 1965, bilangan tentera Amerika di Vietnam berjumlah 25,000 orang penasihat tentera. Pendaratan oleh Rejimen ke-9 Kor Marin Amerika di Da Nang pada 8 Mac, 1965 merupakan titik tolak peningkatan campur tangan tentera Amerika di Vietnam. Peperangan udara juga ditingkatkan. Pada 24 Julai 1965, 4 buah pesawat MCDonnell Douglas F-4C Phantom II yang mengiringi misi pengeboman di Kang Chi diserang oleh misil darat ke udara Vietnam Utara. Ini merupakan pertama kali pesawat udara Amerika diserang. Sebuah pesawat ditembak jatuh. Empat hari kemudian Presiden Johnson mengarahkan supaya bilangan tentera Amerika ditingkatkan kepada 125,000. Pada 29 Julai, 1965, 4,000 anggota dari Divisyen Ke-101 (Airborne) mendarat di Vietnam melalui Pelabuhan Teluk Cam Ranh.

Operasi “Starlite” yang dilancarkan pada 18 Ogos 1965 adalah pertempuran pertama melibatkan pasukan tempur darat Amerika dan melibatkan 5,500 anggota Marin berjaya memusnahkan kubu Viet Cong di daerah Quảng Ngãi. Selepas pertempuran ini Viet Cong mengelakkan daripada bertempur mengikut cara yang dikehendaki oleh Tentera Amerika.

Vietnam Utara menghantar pasukan tentera mereka (PAVN) ke Vietnam Selatan untuk melancarkan serangan gerila dan konvensional. Mereka berharap dapat mengikis sedikit demi sedikit kekuatan ARVN dan akhirnya menghapuskan ARVN. Sebilangan pemimpin Vietnam Utara hendak melancarkan serangan besar-besaran di Tanah Tinggi Vietnam (central Highlands) menggunakan PAVN untuk memecahkan Vietnam Selatan menjadi dua bahagian.

Pertempuran Lembah Ia Drang

Tetapi kuasa tembak yang ditunjukkan oleh pasukan Amerika semasa Pertempuran Lembah Ia Drang (lihat filem “We Were Soldiers”) menyebabkan PAVN mengalami kerugian besar. Selepas itu PAVN tidak lagi mencabar tentera Amerika dalam peperangan konvesional di mana tentera Amerika dapat menggunakan taktik perang dan kuasa tembak mereka yang jauh lebih baik daripada apa yang boleh digunakan oleh PAVN di Vietnam Selatan.

Pertempuran di Lembah Ia Drang melibatkan Divisyen Kavalri Udara memaparkan pertama kalinya pertemuan di antara formasi tentera Amerika dengan unit pasukan regular PAVN. Batalion Pertama, Rejimen ke-7 Kavalri (Bn 1/7) di bawah pimpinan Lt. Kolonel Hal Moore menggunakan pergerakan dengan helikopter, bantuan pengeboman dari udara dan bantuan tembakan artileri medan dengan berkesan untuk menyerang dan menewaskan Rejimen ke-33, ke-66 dan ke-320 PAVN. Selepas 3 hari bertempur, Bn 1/7 Kavalri mengalami 79 anggota terbunuh dan 121 cedera, tetapi berjaya memaksa Divisyen PAVN tersebut berundur kerana mengalami jumlah korban yang terlalu tinggi.

PAVN mempelajari bahawa kuasa tembakan artileri Amerika boleh diatasi dengan membuat tempur berhampiran kedudukan tentera Amerika supaya mereka tidak dapat memanggil bantuan artileri kerana mungkin terkena kedudukan sendiri. Keberkesanan taktik ini dilihat pada keesokan harinya apabila PAVN menggunakan taktik untuk membuat serang hendap menewaskan Bn 2/7 Kavalri di LZ Albany, dan pada 17 November 1965. Dalam pertempuran itu, tentera Amerika mengalami 155 terbunuh and 126 cedera, jumlah paling ramai terbunuh dalam sesuatu hari di sepanjang Perang Vietnam.

Pertempuran di Lembah Ia Drang penting kerana memberikan manfaat pengajaran kepada PAVN; walaupun mengalami jumlah korban yang tinggi, mereka mempelajari cara mana mengatasi kelebihan kuasa tembakan yang ada di tangan pasukan tentera Amerika. Lt. Kolonel Hal Moore sendiri berpendapat bahawa pertempuran itu berkeputusan seri. Selepas Pertempuran di Lembah Ia Drang, PAVN tidak lagi mencabar pasukan Amerika dalam pertempuran terbuka. Selepas Ia Drang

Selepas Pertempuran di Lembah Ia Drang, Pentagon amat merasa yakin bahawa kuasa tembakan tentera Amerika lebih baik daripada PAVN. Mereka mengumumkan penggunaan operasi besar-besaran berkesan menewaskan Viet Cong dan PAVN. Untuk maksud ini, Pentagon meminta pertambahan anggota tentera dari 120,000 kepada 400,000 orang. Pada akhir tahun 1965, bilangan tentera Amerika di Vietnam mencecah 184,000 orang.

Dalam bulan Februari 1966, Jeneral William Westmoreland bertemu Presiden Johnson di Hawaii. Westmoreland bertegas bahawa kehadiran tentera Amerika telah berjaya menghalang kejatuhan kerajaan Vietnam Selatan. Westmoreland meminta penghantaran lebih ramai anggota tentera untuk membolehkannya menyerang dan seterusnya menghapuskan ancaman Komunis ke atas Vietnam Selatan.

Westmoreland mendakwa dengan tambah anggota tentera, beliau akan dapat, awal tahun 1967, mempastikan titik lintas di mana jumlah korban Viet Cong dan PAVN terlalu berat dan tidak boleh digantikan. Dengan itu, kemenangan boleh menjadi kenyataan. Presiden Johnson yakin dengan dakwaan Westmoreland dan memberikan kuasa supaya bilangan tentera Amerika di Vietnam ditambah kepada 429,000 orang menjelang Ogos 1966. Peningkatan mendadak bilangan tentera penempur Amerika membolehkan Westmoreland menjalankan operasi “cari dan musnah” mengikut strategi pelumpuhan yang menekankan kematian ramai anggota musuh supaya mematahkan semangat juang Viet Cong dan PAVN.

Operasi Rolling Thunder (1965–1968)

Rolling Thunder adalah siri misi pengeboman yang berterusan ke atas sasaran-sasaran di Vietnam Utara, dan dilaksanakan oleh unit-unit Tentera Udara Amerika dan Tentera Laut Amerika. Tujuan misi pengeboman ini adalah untuk (a) mematahkan semangat juang rakyat Vietnam Utara, (b) memusnahkan pusat-pusat industri di Vietnam Utara, (c) memusnahkan sistem pertahanan udara Vietnam utara, khususnya sistem misil darat ke udara di sekitar Hanoi, dan (d) untuk menyekat pergerakan anggota dan bekalan di Laluan Ho Chi Minh.

Tetapi Pentadbiran Johnson menghadkan kawasan operasi pesawat pengebom yang ditugaskan. Umpamanya, Pelabuhan Haiphong dan kawasan sempadan China tidak dibenarkan diserang, walaupun kawasan tersebut merupakan pintu masuk bekalan ketenteraan ke Vietnam. Kawasan tertentu seperti Dewan Perwakilan di Hanoi juga tidak dibenarkan diserang. Kawasan Awam juga dikecualikan daripada serangan. Vietnam Utara menggunakan kesempatan menempatkan bekalan tentera di kawasan awam dan kawasan yang dikenalpasti tidak boleh diserang oleh Tentera Udara Amerika untuk dijadikan tempat simpanan bekalan dan tempat penempatan kelengkapan tentera. Umpamanya, meriam anti kapal terbang diletakkan di kawasan sekolah kerana tidak mungkin diserang oleh Tentera Udara Amerika.

Kehebatan serangan ditingkatkan hanya secara beransur-ansur, tetapi pada kecepatan yang terlalu lembab sehingga membolehkan Vietnam Utara menyesuaikan diri dan taktik peperangan mereka sejajar dengan peningkatan misi pengeboman.

Pada 31 Mac, 1968 selepas Serangan Tet, Rolling Thunder dihadkan kawasan serangannya untuk menggalakkan Vietnam Utara mengadakan perundingan damai. Misi pengeboman digantung sepenuhnya pada 31 Oktober 1968 sejurus sebelum Pemilihan Presiden Amerika Syarikat 1968.

Kejayaan Tentera Amerika

Dalam bulan Januari 1966, Divisyen Pertama Kavalri berjaya membunuh 1,342 orang gerila Viet Cong dalam Ops Masher/White Wing di wilayah Binh Dinh. Gerakan ini berterusan sehingga bulan Oktober dan seramai 1,000 orang gerila Viet Cong terbunuh. Di sebelah utara Vietnam Selatan, PAVN masuk ke wilayah Quang Tri. Oleh kerana bimbangkan serangan PAVN ke atas kota Quang Tri, pasukan Marin Amerika melancarkan Ops Hastings, yang berjaya memaksa PAVN berundur semula ke kawasan bebas tentera (DMZ). Operasi cari dan musnah dilakukan oleh tentera Amerika, dan ARVN ditugaskan untuk membuat kerja-kerja pendamaian (pacification)

Pada 12 Oktober, 1967, Setiausaha Negara Amerika Dean Rusk mengumumkan bahawa cadangan perdamaian dengan Vietnam Utara sia-sia kerana keengganan Vietnam Utara untuk duduk di meja rundingan. Vietnam Utara berkeras supaya Amerika Syarikat terlebih dahulu menjatuhkan kerajaan Vietnam Selatan dan seterusnya meninggalkan Vietnam. Pada 17 November, 1967, selepas terlebih dahulu meminta pandangan daripada kumpulan “Wise Men”, Presiden Johnson mengumumkan bahawa Amerika sedang mencapai kemajuan dalam Perang Vietnam. Jeneral Westmoreland mengesahkan pada 21 November bahawa “Amerika sedang menang”.

Pengepungan Khe Sanh

Pergerakan PAVN dibolehkan kerana pergerakan bebas kumpulan perbekalan di sepanjang Laluan Ho Chi Minh. Khe Sanh pada mulanya diasaskan dalam tahun 1962 oleh satu kumpulan Green Beret dalam bulan Julai 1962. Dalam tahun 1964, pasukan Marin mula menghantar unit-unit ke Khe Sanh dan menjalankan operasi di kawasan sekitar. Dalam bulan Oktober 1964, kumpulan Striker (orang asli Montagnard yang diupah oleh Green Beret) mengesahkan pergerakan tentera PAVN di Laluan Ho Chi Minh, bukti kukuh pertama bahawa Vietnam Utara menyusup anggota ke Vietnam Selatan melalui Laluan Ho Chi Minh.

Dalam bulan September 1966, Pasukan Marin mengambil alih sepenuhnya pengkalan tempur Khe Sanh, dengan dilengkapkan dengan landasan terbang membolehkan pesawat pengangkut mendarat. Pengkalan tempur di Khe Sanh boleh mengancam Laluan Ho Chi Minh. Pengukuhan pengkalan Khe Sanh adalah untuk menarik PAVN menyerang pengkalan tersebut, membolehkan tentera Amerika menggunakan kesemua sumber perang untuk menewaskan PAVN. Pengkalan itu juga digunakan sebagai tempat pelancaran serangan ke atas Laluan Ho Chi Minh. Laluan ho Chi Minh juga dipasangkan dengan pengimbas elektronik yang membolehkan Amerika mengesan pergerakan di sepanjang Laluan Ho Chi Minh.

Pada kepimpinan Vietnam Utara, Khe Sanh adalah satu ancaman yang perlu diketepikan. Mereka melihat kebarangkalian untuk mengulangi kejayaan mereka di Dien Bien Phu semasa Perang Indochina Pertama untuk mengalahkan dengan teruk tentera Amerika. Selama beberapa bulan, pasukan Marin dan PAVN mengatur unit-unit mereka di sekitar Khe Sanh. Pada 21 Januari 1968, PAVN memulakan serangan besarnya yang pertama. Serangan demi serangan PAVN dapat dipatahkan dengan PAVN mengalami kerugian besar. PAVN juga diserang dengan hujan bom daripada pesawat pengebom B-52, bantuan udara terdekat oleh jet penyerang dan juga oleh bedilan artileri . Apabila Pengepungan Khe Sanh tamat dalam April 1968, 8,000 anggita PAVN terbunuh dan ramai yang lain cedera. Khe Sanh masih kukuh dan PAVN tidak dapat memutuskan perbekalan senjata dan bekalan ke Khe Sanh. Pengepungan Khe Sanh tamat apabila Divisyen Kavalri Udara melancarkan Ops Pegasus.

Berbeza dengan Dien Bien Phu, Amerika berupaya meneruskan pembekalan Khe Sanh kerana boleh menggunakan banyak pengangkut seperti C-119 Flying Boxcar, C-123 Provider, C-7 Caribou dan pesawat C-130 Hercules. Amerika juga mempunyai bilangan helikopter yang banyak dari jenis CH-47 Chinook dan helikopter UH-1 Huey. Pengepungan Khe Sanh memaksa AVN mengalihkan sumber daripada Serangan Tet dan mengurangkan kesan serangan tersebut.

Signifikan Pengepungan Khe Sanh

Pengepungan Khe Sanh dianggap satu kemenangan psikologi bagi tentera Amerika. Walaupun dikaitkan dengan kebarangkalian berulangnya situasi seperti Dien Bien Phu, Khe Sanh akhirnya menghampakan PAVN kerana hanya 2 rejimen Marin terkepung di Khe Sanh. Tidak seperti Dien Bien Phu, garison Marin di Khe Sanh secara berterusan dibekalkan oleh pesawat pengangkut Tentera Udara Amerika dan helikopter tentera darat dan Marin. Di saat genting apabila tembakan meriam anti kapal terbang begitu banyak, perbekalan masih boleh dibuat oleh Tentera Udara Amerika menggunakan hantaran payung terjun menggunakan sistem LAPES (Low Altitude Extraction System).

Tentera Amerika mengalami 400 orang terbunuh dan 1,800 yang lain cedera. Di Amerika Syarikat, Water Cronkite menyifatkan Khe Sanh sebagai satu kekecewaan besar, dan membalikkan pendapat ramai mengenai Perang Vietnam. Makin ramai yang mula sangsi kebolehan Amerika memenangi perang tersebut. Kesan dari propaganda dan liputan berita yang mengikut, bersama-sama dengan kesan Serangan Tet yangdialncarkan semasa Pengepungan Khe Sanh, Pentadbiran Johnson mula mengubah dasar Amerika Syarikat sebagai reaksi langsung kepada pendapat ramai rakyat Amerika.

Serangan Tet

Pada pengakhir tahun 1967, Jeneral Westmoreland yakin bahawa “dalam masa 2 tahun ataupun kurang, tentera Amerika tidak lagi akan diperlukan untuk Perang Vietnam” kerana tugas tersebut diserahkan secara beransur-ansur kepada tentera ARVN.

Menjelang 15 Disember 1967, pemerintah pasukan tentera Amerika di Saigon menyerahkan tanggungjawab pertahanan Saigon kepada pasukan ARVN. Tindakan ini adalah sebagai tanda keyakinan Amerika kepada kesediaan ARVN memikul tanggungjawab mempertahankan ibu negara tersebut. Tugas menjaga keselamatan Saigon. Keselamatan Saigon adalah tanggungjawab Kumpulan ke-5 Ranger ARVN dengan dibantu oleh Bn 2/13 Rejimen Artileri Tentera Amerika. Di luar kawasan Saigon, Pasukan Medan II Amerika mempunyai 39 batalion tempur yang sedang bersedia untuk menjalankan operasi tentera dekat dengan sempadan Kemboja.

Apabila menjelang hari Tet, hanya 14 batalion tentera berada di sekitar 29 batu sekeliling Saigon. Leftenan Jeneral Fredrick C. Weyand, tidak sedap hati melihat keadaan ini. Beliau nampak ada peningkatan trafik radio musuh di Saigon, sedangkan pertembungan dengan pasukan musuh berkurangan. Pada 10 Januari 1968, Weyand mendapat kebenaran untuk membawa masuk 13 batalion tempurnya ke Saigon.

Setelah diberitahu oleh pimpinan Tentera Amerika akan peningkatan keadaan keselamatan di Vietnam, rakyat Amerika amat terkejut apabila Viet Cong dan PAVN melanggar gencatan senjata pada perayaan Tết Nguyên Ðán tahun tersebut untuk melancarkan serangan di seluruh pelosok Vietnam Selatan menggunakan kumpulan-kumpulan tentera yang lengkap bersenjata.

35 buah bandar termasuk 13 ibu kota wilayah dirampas oleh anasir Viet Cong. Serangan Tet bertujuan merampas pejabat-pejabat penting kerajaan Vietnam Selatan untuk melumpuhkan kerajaan tersebut dan membolehkan Viet Cong menghasut rakyat ramai untuk memberontak menggulingkan kerajaan. Pemberontak beramai-ramai tidak berlaku. Sebaliknya, Serangan Tet menyebabkan pihak-pihak yang sebelum itu tidak memperdulikan politik berjuang di pihak kerajaan Vietnam Selatan.

Serangan-serangan dapat dipatahkan dengan cepat, kecuali di Saigon di mana pertempuran berlanjutan selama 3 hari dan di Hue di mana pertempuran berlanjutan sehingga sebulan lamanya. Semasa pendudukan Komunis ke atas bandar Hue, 2,800 orang dibunuh dengan kejam. Serangan ini mengakibatkan bilangan korban yang tinggi di kalangan pejuang Viet Cong dan PAVN. Ramai agen Viet Cong yang sebelumnya seperti orang awam yang enggan terlibat dalam aktiviti anti kerajaan menunjuk belang semasa serangan ini dan dihapuskan oleh askar-askar kerajaan.

Dalam tempoh satu bulan selepas ia dilancarkan, Jeneral Westmoreland mendakwa bahawa Serangan Tet adalah satu bencana bagi Viet Cong dan PAVN dan infrastruktur yang dibina selama ini dimusnahkan. Dengan kehancuran Viet Cong, hanya PAVN menggalas beban perjuangan di Vietnam Selatan.

Media Amerika menyifatkan Serangan Tet sebagai tamparan hebat ke atas tentera Amerika. Walter Cronkite, menyatakan keyakinan beliau bahawa adalah mustahil bagi Amerika menang di Vietnam. Kepercayaan ini dikuatkan dengan tayangan visual bangunan Kedutaan Amerika yang berjaya dirempuh masuk oleh askar berani mati Viet Cong, dan serangan tersebut ditayangkan melalui televisyen di dalam ruang rehat rumah-rumah di seluruh pelosok Amerika. Rakyat Amerika bertanyakan bagaimana bangunan paling terkawal itu boleh jatuh ke tangan pemberontak komunis.

Selepas Serangan Tet President Johnson menaikkan cukai pendapatan untuk memperoleh dana bagi membiayai kos perang di Vietnam. Dalam tahun 1968, Perang Vietnam memerlukan kos US$66 juta setiap hari. Tentangan kepada penglibatan Amerika di Vietnam kian memuncak. Rakyat Amerika bertanyakan mengapa perlu meneruskan pembiayaan perang yang begitu mahal sedangkan Amerika tiada lagi peluang untuk menang.

Serangan Tet mencetuskan krisis politik di Amerika, dan kesannya mengubah arah perang di Vietnam. Jeneral Westmoreland meminta tambahan 206,000 orang anggota tentera tetapi permintaan itu ditolak. Sebaliknya Pentadbiran Johnson mahu memulakan perundingan damai dengan pihak Komunis Vietnam. Ketika ini, pendapat ramai menjurus kepada penentangan Perang Vietnam. Pentadbiran Johnson mula mencari strategi untuk keluar dari Vietnam.

Di Vietnam, kepimpinan tentera menghadapi masalah untuk berdepan dengan PAVN kerana pasukan tersebut mengundurkan diri di belakang kawasan bebas tentera DMZ. Walaupun mempunyai peralatan moden jauh lebih baik daripada Vietnam Utara, tentera Amerika kini tiada strategi yang jelas untuk mencapai kejayaan. Sebarang serangan melewati DMZ dianggap terlalu berisiko kerana kemungkinan China melibatkan diri menyebelahi Vietnam Utara. Operasi tentera di Kemboja dan Laos akan mencetuskan kontroversi politik dan akan menyebabkan PAVN mengubahkan Laluan Ho Chi Minh ke arah barat.

Meskipun tewas di medan tempur, pihak Viet Cong dan PAVN mencapai kejayaan propaganda semasa Serangan Tet. Rakyat Amerika mula mencurigakan apa yang dikhabarkan oleh Pentadbiran Johnson kepada mereka. Kebanyakan pemimpin politik tidak melihat kemenangan untuk Amerika. Percaturan politik kini tinggi, bukan sahaja dalam bentuk kewangan pembiayaan perang tetapi juga dalam bilangan nyawa yang terkorban. Sistem pengerahan tentera juga dilihat tidak adil kerana pemilihan yang tidak seimbang.

Creighton W. Abrams

Jeneral Westmoreland digantikan oleh timbalannya, Jeneral Creighton W. Abrams. Abrams mengambil pendekatan baru, beliau mesra dan terbuka dengan media. Beliau cermat menggunakan serangan udara dan tembakan artileri, dan menghentikan penggunaan “body count” sebagai petunjuk kejayaan. Abrams juga lebih bekerjasama dengan ARVN.

Pada 14 Oktober 1968, Jabatan Pertahanan Amerika mengumumkan penghantaran 24,000 anggota tentera ke Vietnam untuk tugasan kali kedua. Langkah ini tidak diterima baik di Amerika Syarikat. Pada 31 Oktober 1968, Presiden Johnson mengumumkan pemberhentian semua pengeboman udara, laut dan artileri ke atas sasaran di Vietnam Utara, berkuat kuasa 1 November. Ini bertujuan memujuk Vietnam Utara ke meja perundingan damai. Perundingan akhirnya gagal dicapai.

Pada 3 November, 1969, Presiden Richard M. Nixon meminta rakyat Amerika bersama-sama dengannya untuk mencari penyelesaian perang di Vietnam dan pengunduran tentera Amerika dengan menguatkan dan seterusnya melepaskan tanggungjawab pertahanan Vietnam Selatan kepada rakyat Vietnam Selatan sendiri.

Richard Nixon

Polisi Vietnamisasi

Apabila Nixon dilantik menjadi Presiden, beliau mulakan rancangan pengunduran diri dari Perang Vietnam. Nixon mahukan ARVN dan pasukan keselamatan Vietnam diperkuatkan supaya boleh mempertahankan Vietnam tanpa bantuan Amerika dalam proses yang dipanggilnya Vietnamisasi. Amerika mula mengurangkan bilangan tenteranya di Vietnam. Serangan bom di Vietnam Utara dan Laos diteruskan semula untuk memusnahkan sistem perbekalan di Laluan Ho Chi Minh. Amerika Syarikat mula menyerang pengkalan komunis di Kemboja. Kerajaan Kemboja digulingkan dan kerajaan anti komunis di bawah Lon Nol mengambil kuasa. Pelabuhan di Kemboja kini tidak boleh digunakan lagi oleh Viet Cong dan PAVN. Vietnam Selatan membuat serangan besar ke atas pengkalan komunis di Laos tetapi gagal menutup bahagian Laluan Ho Chi Minh di situ. Lebih banyak misi pengeboman dijalankan oleh Amerika ke atas Vietnam Utara.

Di medan politik, Nixon mengeratkan hubungan dengan Soviet Union dan China, penyokong terkuat Vietnam Utara dengan tujuan meminta kedua negara memujuk Vietnam Utara ke meja perundingan. Usaha ini melancarkan satu era dipanggil era “détente” yang seterusnya membawa kepada perundingan pengurangan senjata nuklear (START, SALT) dan membuka dialog dengan China. Dalam tahun 1972, Nixon mengadakan lawatan ke Beijing, Hangzhou dan Shanghai di China. Lawatan ini signifikan kerana ketika itu Amerika tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan China.

Dalam masa itu, Nixon meneruskan pengeboman Vietnam Utara dan seterusnya meminta bantuan China memujuk Vietnam Utara ke Perundingan Damai Paris. Nixon mahukan peluang membolehkan Amerika keluar dari Vietnam walaupun dengan membiarkan Vietnam Selatan sebagai korban selepas “satu tempoh yang munasabah”. Soviet Union dan China terus membekalkan Vietnam Utara dengan senjata dan bekalan yang akhirnya membolehkan Vietnam Utara melancarkan serangan akhir mengalahkan Vietnam Selatan dalam tahun 1975.

Pencerobohan Kemboja

Putera Norodom Sihanouk berkerjasama dengan konco komunis dan membenarkan komunis menggunakan pengkalan dan pelabuhan Kemboja. Dalam tahun 1968, pemberontakan oleh Khmer Rouge mula mengancam kestabilan Kemboja dan mengambil perlindungan di kawasan-kawasan kemboja yang dikuasai Vietnam Utara. Khmer Rouge adalan kumpulan ganas yang berhaluan ektremis dan mendapat ilham dari Josef Stalin dan Mao Zedong.

Dalam tahun 1970, Putera Norodom Sihanouk digulingkan Perdana Menteri Lon Nol yang mahu menghentikan kerjasama dengan Vietnam Utara dan China kerana kedua pihak menyokong Khmer Rouge. Presiden Nixon mengarahkan serangan pada 1 Mei 1970 ke atas pengkalan Vietnam Utara dan Khmer Rouge di Kemboja dan menutup Laluan Ho Chi Minh supaya kerajaan Lon Nol boleh dikukuhkan.

Serangan ke atas Kemboja berjaya melumpuhkan bekalan melalui Laluan Ho Chi Minh dan berjaya menemui banyak tempat simpanan senjata. Keupayaan Vietnam Utara mengadakan gerakan tentera terencat. Ini membolehkan pengukuhan program Vietnamisasi Nixon. Vietnam Utara tertekan dan hadir di meja Perundingan Damai Paris. Tentera Amerika mengundur diri dari Kemboja pada 30 Jun 1970. Operasi di Kemboja mengakibatkan 284 anggota Tentera Amerika terbunuh, 2,339 orang lagi cedera dan 13 tentera hilang. ARVN mengalami 800 kematian dan 3,410 cedera. PAVN dan Viet Cong mengalami 11,349 kematian dead dan 2,328 anggota ditawan.

Walaupun dilihat sebagai kejayaan tentera, rancangan Nixon di Kemboja mendapat kesan sebaliknya. Anasir Komunis berundur ke kawasan pedalaman dan mengugatkan kestabilan Kemboja. Khmer Rouge menguatkan pegangan ke atas Kemboja. Putera Sihanouk lari mendapatkan suaka di China dan memberi sokongan kepada usaha menggulingkan kerajaan Lon Nol. Akhirnya Lon Nol digulingkan oleh Pol Pot. Ini adalah permulaan kekejaman di Kemboja di mana hampir satu pertiga penduduk kemboja dibunuh dalam kempen yang lebih kenali sebagai “The Killing Fields”.

Pada 13 Februari 1971, ARVN melancarkan serangan ke atas Laos dan menduduki kawasan yang dikuasai Vietnam Utara dan dibantu oleh sokongan serangan udara dan artileri Amerika. Serangan ini juga untuk menutup Laluan Ho Chi Minh. Operasi yang dipanggil Lam Son 719 akhirnya menemui kegagalan, dan menimbulkan kecurigaan dan keraguan Amerika terhadap kesediaan dan kesan program Vietnamisasi.

Pengurangan Bilangan Tentera

Untuk mengurangkan penentangan rakyat Amerika ke atas pentadbirannya, Presiden Nixon mengumumkan pada 12 Oktober 1970 bahawa beliau akan mengundurkan 40,000 anggota tentera dari Vietnam sebelum tibanya perayaan Krismas. Pada 18 Ogos 1970, Australia dan New Zealand juga membuat keputusan untuk mengundurkan tentera mereka dari Vietnam.

Menjelang 29 Oktober 1971, bilangan Tentera Amerika sudah turun kepada 196,700 orang. Pada 12 November 1971, Presiden Nixon menetapkan 1 Februari 1972 sebagai tarikh akhir untuk pengunduran 45,000 lagi anggota tentera.

Pada bulan Mac, 1972, bilangan askar Amerika di Vietnam sudah kurang daripada 100,000 orang dengan 6 batalion infantri. Program Vietnamisasi melalui cabaran getir pada 30 Mac 1972 apabila Vietnam Utara melancarkan serangan besar “Eastertide Offensive” menyeberangi DMZ dengan pasukan konvensional. Operasi tentera tersebut dengan cepat menawan kawasan di bawah kawalan Wilayah I, dan termasuk Quang Tri dan Hue. Dalam bulan April 1972, Vietnam Utara melancarkan serangan di 3 kawasan lain termasuk di kawasan Tanah Tinggi di Vietnam Tengah dan di wilayah Binh Dinh (Wilayah II Tentera) dan di kawasan An Loc (Wilayah III Tentera). Seluruh Vietnam Selatan kelihatan seakan tumbang.

Amerika Syarikat bertindak balas dengan memberikan bantuan serangan udara dan melancarkan operasi Linebacker ke atas Vietnam Utara. Akhirnya ARVN berjaya menyekat kemaraan PAVN dan menawan semula Quang Tri dalam bulan September 1972. Ini adalah bukti kepada Nixon bahawa ARVN sudah bersedia memikul tanggungjawab mempertahankan Vietnam.

Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai

Dalam tahun 1969, wartawan Seymour Hersh membongkar peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai melibatkan kumpulan askar Amerika pimpinan Leftenan William Calley yang ditugaskan menyiasat dan menghapuskan “dengan apa jua cara” kawalan Viet Cong ke atas perkampungan My Lai dan menghapuskan simpanan senjata yang disyaki disimpan di situ.

Leftenan William Calley mendapati kampung itu didiami oleh kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Ketiadaan penduduk lelaki dilihat sebagai bukti penyertaan dalam unit Viet Cong. Tambahan pula kawasan tersebut diisytiharkan oleh Perisik Tentera sebagai kawasan hitam. Setelah berfikir panjang, Leftenan William Calley mengarahkan pasukannya membunuh beberapa ratus orang awam terdiri dari wanita dan kanak-kanak dan orang tua. Pembunuhan hanya dihentikan kerana 3 orang askar Amerika melihat pembunuhan itu daripada helikopter mereka dan mendarat untuk campur tangan dan menghalang askar-askar itu daripada meneruskan pembunuhan. Leftenan William Calley dihadapkan ke mahkamah tentera dan dalam tahun 1970 dihukum penjara seumur hidup.

Pilihan Raya Presiden 1972

Perang Vietnam sekali lagi menjadi isu utama semasa kempen pilihanraya presiden tahun 1972. Nixon berhadapan dengan George McGovern, seorang calon yang anti perang. Pada 22 Oktober 1972 Presiden Nixon menghentikan operasi pengeboman Linebacker. Henry Kissinger mengumumkan bahawa “kedamaian sudah hampir” sehari sebelum hari mengundi. Pada 30 November 1972 bilangan Tentera Amerika di Vietnam hanya pada tahap 27,000 orang sahaja.

Apabila Vietnam Utara melengah-lengahkan menandatangani perjanjian damai, Nixon mengarahkan pengeboman B-52 ke atas Vietnam Utara dimulakan kembali. Linebacker II yang bermula pada 18 Disember 1972 mensasarkan Hanoi dan Haiphong dan berterusan sehingga 29 Disember 1972. Vietnam Utara bersetuju kembali ke meja perundingan.

Perjanjian Damai Paris

Pada 15 Januari 1973, Nixon menggantungkan serangan bom ke atas Vietnam Utara dan diikuti pengunduran tentera Amerika dari Vietnam. Tindakan ini dibuat beralaskan kemajuan yang dibuat di meja perundingan di Paris.

Perjanjian Damai Paris ditandatangani pada 27 Januari 1973, dan dengan rasminya menamatkan penglibatan Amerika Syarikat di Vietnam. Perjanjian ini membawa kelegaan kepada rakyat Amerika kerana satu lembaran hitam dalam sejarah Amerika Syarikat kini dapat ditutup.

Tawanan Perang Amerika Syarikat mula dibebaskan oleh Vietnam Utara pada 11 Februari 1973. Tentera Amerika meninggalkan Vietnam tidak lewat daripada 29 Mac 1973. Mereka tidak disambut sebagai wira, tetapi sebaliknya dikecam kerana menyertai perang di Vietnam.

Sebagai dorongan untuk menerima kedamaian, Presiden Nguyen Van Thieu dijanjikan bantuan kewangan oleh Nixon untuk membolehkan kerajaan Vietnam Selatan berdiri menentang Vietnam Utara. Tetapi, masalah Watergate mengikis kuasa dan pengaruh Nixon dan bantuan kewangan tidak dapat disalurkan kepada Vietnam Selatan. Apa-apa bantuan ekonomi yang dapat disalurkan telah dikikis oleh pegawai-pegawai kerajaan yang korup dan bukannya disalurkan untuk menguatkan ARVN. Sebaliknya, Soviet Union dan China terus melengkapkan Vietnam Utara dengan kelengkapan baru dan moden. Nixon meletakkan jawatan Presiden dan digantikan oleh Gerald Ford.

Gerald Ford

Dalam bulan Disember 1974, Kongres Amerika meluluskan Akta Bantuan Luar 1974 (Foreign Assistance Act 1974) yang menyekat bantuan kewangan ke Vietnam Selatan dan menetapkan syarat-syarat yang tidak dapat dipenuhi oleh Vietnam Selatan. Vietnam Selatan kini tidak mempunyai sekutu berdepan dengan Vietnam Utara. Ketiadaan Tentera Amerika di bumi Vietnam menyebabkan kehilangan sumber ekonomi yang penting bagi rakyat Vietnam. Vietnam Utara melihat sikap Amerika ini sebagai keengganan campur tangan lagi dalam hal ehwal Vietnam. Ini merupakan peluang untuk menggulingkan secara muktamad kerajaan Vietnam Selatan.

Serangan Terakhir

Dalam bulan Mac 1975, Vietnam Utara melancarkan serangan kawasan tinggi di Vietnam Tengah menggunakan tentera konvensional dan dibantu artileri dan kereta kebal. Vietnam Selatan kini terbelah dua. Kerana takutkan tentera Vietnam Selatan di bahagian utara akan terkepung oleh PAVN, Presiden Thieu mengarahkan penempatan semula pasukan tentera Vietnam Selatan di wilayah utara ke kawasan tengah Vietnam. Tetapi pergerakan tentera menjadi haru biru kerana PAVN melancarkan serangan dari arah utara. Kedudukan tentera menjadi tidak keruan, dengan pergerakan tentera diganggu oleh orang-orang pelarian.

Pada 11 Mac 1975, Ban-Me-Thuot jatuh ke tangan PAVN. Setelah dibedil artileri, garison seramai 4,000 orang itu melarikan diri bersama keluarga. Presiden Thieu mengarahkan kawasan tengah Vietnam ditinggalkan, untuk memperkuatkan pertahanan di kawasan selatan. Pleiku dan Kontum ditinggalkan. Pasukan ARVN berundur menuju selatan, tetapi pergerakan mereka dihindar oleh orang-orang pelarian. PAVN menyerang pasukan yang sedang berundur ini dan 60,000 tentera ARVN menjadi korban. Melihatkan kesan kehancuran pasukan yang berundur, Presiden Thieu pada 20 Mac 1975 mengarahkan pasukan tentera bertahan di wilayah tengah negara tersebut. Tetapi panik sudah menular, dan penentangan ARVN tidak berkesan. PAVN menawan Hue, selepas pengepungan selama 3 hari.

Da Nang pula diserang oleh 30,000 orang tentera PAVN. Pucuk pimpinan ARVN melarikan diri. Pada 30 Mac 1975, 100,000 anggota ARVN di Da Nang yang tidak berkepimpinan menyerah diri. Dengan kejatuhan Da Nang, kawasan utara dan tengah Vietnam sudah tewas. PAVN merancang serangan kilat untuk menawan Saigon sebelum saki baki ARVN dapat menyusun semula pertahanan mereka.

Pada 7 April 1975, 3 divisyen tentera PAVN dari Kor ke-4 menyerang Xuan-loc, kira-kira 65 kilometer di timur Saigon. Mereka ditentang Divisyen ke-18 ARVN. Walaupun Divisyen ke-18 menentang hebat selama dua minggu, kekuatan PAVN terlalu kuat. Pada 21 April 1975, garison di Xuan-loc menyerah diri.

Presiden Thieu meletak jawatan pada 21 April 1975, dan sambil menunjukkan dokumen-dokumen tahun 1972 yang menjanjikan bantuan tentera, menyalahkan Amerika Syarikat kerana mengkhianati rakyat Vietnam. Thieu melarikan diri ke Taiwan. Duong Van Minh ditinggalkan untuk memimpin Vietnam.

Kejatuhan Saigon

Kereta kebal PAVN kini sudah sampai ke Bien Hoa, dan menuju Saigon. Pada masa ini, ARVN sudah tidak efektif sebagai satu pasukan tentera. Pada 27 April 1975, 100,000 tentera PAVN mengelilingi Saigon dan berhadapan dengan 30,000 tentera ARVN.

Amerika memulakan pemindahan keluar rakyatnya dan tanggungan mereka keluar dari Vietnam. Kesatuan Kebajikan melancarkan “''Operation Babylift''”, dengan 30 penerbangan untuk memindahkan anak-anak yatim keluar dari Vietnam.

Untuk menimbulkan huru hara, PAVN membedil lapangan terbang Saigon. Dalam kekecohan ini, sebuah pesawat pesawat C-5A Galaxy yang membawa 300 orang kanak-kanak jatuh terhempas kira-kira 3 kilometer dari Lapangan Terbang Tan Son Nhut. 138 orang terbunuh, termasuk 127 orang anak-anak yatim. Tan Son Nhut ditutup sepenuhnya kepada semua kapal terbang.

Pada 23 April 1975, Gerald Ford mengumumkan bahawa perang Vietnam sudah berakhir dan tiada lagi bantuan akan diberikan kepada Vietnam Selatan. Pada 29 April, 1975, Amerika Syarikat melancarkan Option IV, pemindahan keluar yang terbesar menggunakan helikopter. Pemindahan keluar dilakukan dari Tan Son Nhut dan Kedutaan Amerika Syarikat. Pemindahan keluar dengan helikopter berterusan siang dan malam. PAVN tidak menembak helikopter yang memindahkan keluar pelarian kerana tidak mahu Amerika campur tangan lagi dalam perang Vietnam. Pada pagi 30 April 1975, askar Marin terakhir meninggalkan Kedutaan Amerika di Saigon. Option IV berjaya memindahkan 7,000 orang pelarian dengan helikopter.

Saigon ditawan oleh PAVN dan tentera ARVN lari bertempiaran dan menanggalkan uniform mereka dan meninggalkan kelengkapan mereka. Istana Presiden ditawan tanpa tentangan. Bendera Viet Cong dikibarkan di istana Presiden. Presiden Duong Van Minh menyerah kalah dan ucapan serah diri dipancarkan melalui radio.

Tirai Penutup – Insiden SS Mayaguez

Operasi terakhir perang Vietnam berlaku di Kemboja apabila kapal SS Mayaguez ditawan oleh pihak Khmer Rouge. Presiden Gerald Ford yang risaukan insiden penawanan ini dijadikan propaganda besar, mengarahkan operasi tentera untuk menyelamatkan kapal dan anak akap SS Mayaguez. Serangan dilakukan menggunakan askar Marin dan kapal Tentera Laut Amerika. Setelah berlaku pertempuran, kapal dan anak-anak kapal mayaguez dalam dibebaskan, tetapi Amerika mengalami korban 18 askar Marin dan 3 lagi ditawan. Mereka merupakan korban terakhir Perang Vietnam dan disenaraikan terakhir sekali di Memorial Veteran Vietnam di Washington D.C..

Rujukan

WikiPedia: Perang Vietnam http://members.ozemail.com.au/~yeulee/Topical/Hmon... http://www.australiansatwar.gov.au/throughmyeyes/v... http://www.awm.gov.au/encyclopedia/vietnam/statist... http://www.americanwarlibrary.com/vietnam/vwatl.ht... http://www.answers.com/topic/battle-of-ia-drang http://www.asiamaya.com/panduasia/vietnam/e-01land... http://www.bartleby.com/quotations/012004.html http://www.bmj.com/content/336/7659/1482 http://www.country-data.com/frd/cs/laos/la_glos.ht... http://www.users.erols.com/mwhite28/warstat2.htm